Thursday, 18 April 2013

Memohon maaf...



Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah pada entri kali saya ingin berbicara tentang maaf-bermaafaan. Nilai saling bermaafan sesama insan sangat dituntut dalam semua agama. Ramai yang menganggap maaf-bermaafan ini hanya berlaku pada hari raya sahaja. Hari-hari lain tidak perlu.

Pada masa ini, begitu susah untuk mendengar ucapan maaf yang lahir dari mulut masyarakat kita pada hari-hari biasa. Tidak tahulah mengapa perkara sebegini boleh terjadi, walhal kita telah diajar untuk mengucapkan perkataan maaf jika melakukan kesilapan. Tidak kiralah kesalahan tersebut besar ataupun kecil. Adakah kerana ego yang tinggi atau mereka menganggap perkara tersebut remeh? Kebiasaannya, perkara yang dianggap remeh ini boleh menjadi lebih besar sehingga sukar diselesaikan.
           
Sebenarnya, dengan hanya satu perkataan ‘maaf’, hari-hari yang kita lalui akan lebih ceria dan bermakna. Oleh itu, lafazlah perkataan ‘maaf’ walaupun kita berada di tempat yang betul kerana perkataan tersebut bukan hanya berfungsi untuk meminta kemaafan , malah dilihat juga sebagai tanda merendah diri walaupun kita tidak bersalah.


Kurangkan Kelajuan...




Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang perkataan yang terdapat di salah satu papan tanda yang berada di tepi jalan raya. Ketika saya mencatatkan idea untuk entri blog pada kali ini, saya sedang berada dalam perjalanan untuk pergi ke pekan Tanjong Malim. Tujuan saya ke sana adalah untuk membeli barang. Semasa perjalanan untuk menuju ke pekan tersebut, saya terlihat satu papan tanda yang bertulis “Kurangkan Laju”. Terlintas di fikiran saya bahawa seperti ada sesuatu kesalahan yang terdapat pada perkataan di papan tanda tersebut.

Sepanjang perjalanan itu, otak saya ligat berfikir sama ada perkataan yang digunakan pada papan tanda tersebut mengandungi kesalahan ataupun tidak. Setelah tiba di rumah, saya terus  memikirkan tentang ayat yang tertulis di papan tanda itu tadi, iaitu “Kurangkan Laju” dan memang benarlah telahan saya bahawa terdapat kesalahan pada ayat tersebut.

Pada pendapat saya, terdapat kesalahan bahasa dalam perkataan di atas. Perkataan ‘kurangkan’ haruslah diikuti oleh kata nama terbitan ‘kelajuan’ bukannya kata sifat ‘laju’.




Monday, 15 April 2013

Ayat perintah...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang penggunaan bahasa, iaitu ayat perintah. Ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis berikut:

i)            Ayat suruhan.
ii)           Ayat larangan.
iii)         Ayat silaan.
iv)         Ayat permintaan.

Baiklah, pada entri kali ini kita akan melihat dua sahaja ayat perintah, iaitu ayat larangan dan ayat permintaan. Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Contohnya, “Jangan ambil harta orang”. Seterusnya ayat permintaan pula ialah ayat yang menggunakan kata permintaan, seperti minta dan tolong, dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan. Contohnya, “Tolong tutup pintu itu”.
Pernahkan anda melihat ayat ini?

“TOLONG JANGAN BISING”

Bentuk ayat permintaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif sebagaimana yang terdapat dalam jenis ayat larangan. Oleh sebab itu, ayat di atas tidak dianggap betul. Bentuk ayat larangan yang betul bagi ayat di atas ialah “JANGAN BISING”. Ayat larangan dapat juga dilembutkan dengan menggunakan perkataan harap pada bahagian hadapannya. Contohnya:

Harap jangan bising.

Oleh itu, sekiranya selepas ini kita ingin membuat ayat larangan, kita janganlah meletakkan bentuk ayat permintaan kerana ayat tersebut dianggap salah.



Bahasa Kedah...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah, pada entri kali ini saya ingin mengajak anda semua untuk belajar sedikit bahasa Kedah. Ada orang kata bahasa Kedah ini kasar, betulkah?. Bagi saya sebenarnya bahasa Kedah ini bukanlah kasar jika dipertuturkan sesama orang Kedah sendiri sebaliknya orang dari negeri lain yang mendengarnya yang mengatakan bahawa ianya kasar. Mari kita sama-sama belajar beberapa perkataan di bawah.

belemoih – kotor
gerek – basikal
hampa – kamu
depa – mereka
celuih – muat
ketegaq – degil
ligan – kejar
keleboq/lanyau – lumpur
loqlaq – pengotor

peghongoih – panas baran
menyerok – sarapan
perangat – panaskan
tak dan – tak sempat
ghonot – tunduk
tertomoih/tersembam – terjatuh
hinggut – goyang
belengaih – berair
pelenggaq – pangkin


Sebenarnya terdapat banyak lagi bahasa Kedah yang sukar difahami oleh masyarakat kita, tetapi kadang kala perkataan-perkataan tersebut susah untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang betul jadi kita perlu melihatnya dari segi ayat yang digunakan. Baiklah, setakat ini dahulu bahasa Kedah yang dapat saya kongsikan kepada anda semua.



Kata Nafi...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah, pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang kata nafi yang terdapat dalam bahasa Melayu. Kata nafi ialah unsur yang menyatakan maksud nafi atau negatif kepada unsur utama dalam perdikat itu. Terdapat dua bentuk kata nafi, iaitu bukan dan tidak.
Kata nafi bukan boleh menafikan semua frasa nama dan frasa sendi nama. Contohnya:

1.   Itu bukan sekolahnya.
2.   Projek itu bukan usaha saya.
3.   Hadiah itu bukan untuk abang.
4.   Faedahnya bukan untuk saya sahaja.

Kata nafi tidak boleh menafikan frasa kerja dan frasa adejktif. Contohnya:

1.   Mereka tidak datang semalam.
2.   Dia tidak menjemput saya.
3.   Suratnya tidak berapa panjang.
4.   Bapanya tidak kuat lagi.

Sering kali kita salah menggunakan kata nafi bukan untuk menafikan maksud frasa kerja dan frasa adjektif. Contohnya, Ali bukan pandai, Mereka bukan datang, dan Suratnya bukan panjang. Walau bagaimanapun, kata nafi bukan boleh juga hadir bagi menafikan maksud frasa adjektif, jika kedua-duanya mendukung maksud “pertentangan maklumat”, contohnya:

1.   Ali bukan pandai sangat, tetapi rajin.
2.   Mereka datang bukan hendak bermusuh sebaliknya hendak berbaik-baik.

Sebagai kesimpulannya, penggunaan kata nafi tidak dan bukan ini perlulah disesuaikan mengikut  unsur frasa dalam ayat. Oleh itu, kesalahan bahasa dapat dikurangkan.




Budaya senyum...


Asslamualaikum dan salam sejahtera...

Pada entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang budaya senyum. Sebelum membaca dengan lebih lanjut, anda mesti senyum dahulu, boleh atau tidak? Senang sahaja hendak senyum sebenarnya, tetapi masih ada segelintir masyarakat yang sangat kedekut dengan senyumannya. Senyum itu kan satu sedekah, jadi senyumlah kepada sesiapa sahaja.

Baiklah, beberapa hari yang lalu saya dan kawan saya telah pergi ke sebuah kedai makan untuk makan malam. Kami memilih meja di tepi sekali dan berdekatan dengan tempat meletak motosikal. Sambil menunggu pesanan tiba, kami hanya bersembang-sembang kosong sambil memerhatikan kenderaan yang lalu-lalang di jalan. Sewaktu sedang melihat beberapa buah motosikal yang diletakkan di tepi kedai makan tersebut, seorang perempuan yang sudah selesai makan di situ pergi ke motosikalnya untuk pulang. Jadi, tanpa sengaja saya melihatnya dan terus melemparkan senyuman dan dia juga membalas senyuman saya dengan penuh ikhlas. Kawan yang datang bersama-sama saya  hairan dan bertanya kepada saya, berikut ialah perbualan kami:

                Kawan : Kenal ka dengan orang tu?
                Saya    : Tak kenal pun, kenapa?
                Kawan : Tengok senyum macam kenal ja.

Jadi, kita tidak perlulah kedekut untuk memberi senyuman kepada orang lain. Orang akan berasa senang dengan kita dan kita pun akan senang dengan semua orang. 

Bahasa slanga...


Assalamulaikum dan salam sejahtera...

Baiklah, pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang penggunaan bahasa oleh para remaja pada masa ini. Bahasa yag digunakan oleh golongan ini kadang-kadang sukar untuk difahami oleh masyarakat kita.
Antara bahasa yang sering digunakan oleh mereka ialah poyo, kerek, bro, sengal, bongek, ghepu, tolol, ngek, skema, dan sebagainya. 

Sebenarnya perkataan-perkataan ini tidak mempunyai maksud yang jelas kerana digunakan mengikut situasi tertentu dan terdapat juga perbezaan mengikut dialek mereka. Selalunya perkataan-perkataan ini digunakan untuk mengumpat atau menunjukkan bahasa yang kurang sopan terhadap orang lain.

Dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan bahasa ini tidak diketahui asal kewujudannya, namun penggunaannya semakin mendapat tempat dalam kalangan para remaja kini.