Monday, 15 April 2013

Kata Nafi...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah, pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang kata nafi yang terdapat dalam bahasa Melayu. Kata nafi ialah unsur yang menyatakan maksud nafi atau negatif kepada unsur utama dalam perdikat itu. Terdapat dua bentuk kata nafi, iaitu bukan dan tidak.
Kata nafi bukan boleh menafikan semua frasa nama dan frasa sendi nama. Contohnya:

1.   Itu bukan sekolahnya.
2.   Projek itu bukan usaha saya.
3.   Hadiah itu bukan untuk abang.
4.   Faedahnya bukan untuk saya sahaja.

Kata nafi tidak boleh menafikan frasa kerja dan frasa adejktif. Contohnya:

1.   Mereka tidak datang semalam.
2.   Dia tidak menjemput saya.
3.   Suratnya tidak berapa panjang.
4.   Bapanya tidak kuat lagi.

Sering kali kita salah menggunakan kata nafi bukan untuk menafikan maksud frasa kerja dan frasa adjektif. Contohnya, Ali bukan pandai, Mereka bukan datang, dan Suratnya bukan panjang. Walau bagaimanapun, kata nafi bukan boleh juga hadir bagi menafikan maksud frasa adjektif, jika kedua-duanya mendukung maksud “pertentangan maklumat”, contohnya:

1.   Ali bukan pandai sangat, tetapi rajin.
2.   Mereka datang bukan hendak bermusuh sebaliknya hendak berbaik-baik.

Sebagai kesimpulannya, penggunaan kata nafi tidak dan bukan ini perlulah disesuaikan mengikut  unsur frasa dalam ayat. Oleh itu, kesalahan bahasa dapat dikurangkan.




1 comment: