Tuesday, 26 March 2013

Kata Pemeri...

Assalamualaikum...

Pada entri sebelum ini, saya telah berkongsi tentang kata majmuk mantap dalam bahasa Melayu. Baiklah, pada kali ini saya ingin berkongsi pula mengenai kata pemeri, iaitu "ialah" dan "adalah".


Hendak dijadikan cerita begini, semalam semasa saya sedang membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah, saya ada menanyakan sahabat saya satu soalan yang berkaitan penggunaan kata pemeri ialah dan adalah ini. Berikut merupakan perbualan saya dan sahabat saya:


                     Saya: Ayat yang betul yang mana satu? ialah  
                              seperti berikut atau adalah seperti berikut?
                     Anis: Tidak pasti la...cuba tengok semula dalam buku.

Disebabkan kejadian tersebut saya pun terfikir yang rupanya saya sendiri belum mahir dan yakin dengan penggunaan kata pemeri yang betu dan tepat. Sebenarnya, kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:
    
                    (i) secara persamaan antara subjek dengan predikat,  
                        dengan penggunaan kata pemeri ialah,
                    (ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan 
                        penggunaan kata pemeri adalah.

Kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama. Kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Satu perkara yang perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu. Oleh itu, pada pendapat saya untuk mengelakkan kesalahan penggunaan kata pemeri ini, kita perlulah mahir dan sentiasa peka dengan penggunaannya dalam ayat.  




Monday, 25 March 2013

Orang berbudi, kita berbahasa...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang suatu cerita di tempat cuci kereta. Pada hari ini, saya telah menemani kawan saya pergi mencuci keretanya di salah sebuah tempat cuci kereta di tempat saya belajar. Memandangkan cuaca yang panas terik, jadi eloklah rasanya kawan saya ini mencuci keretanya yang kotor. Nasib baiklah kereta pada hari ini tidak  banyak, cuma terdapat sebuah kereta sahaja yang sedang dilapkan. Jadi, kami terus meletakkan kereta di bawah tempat mencuci tersebut sambil menunggu giliran.


Dalam beberapa minit kemudian, kereta yang datang sebelum kami itu pun siap dicuci dan dilap. Salah seorang pekerja memanggil pemilik kereta tersebut dan memberitahu bahawa keretanya sudah selesai dicuci. Hendak dijadikan cerita, pada ketika itu tanpa disengajakan saya memerhatikan gelagat pemilik kereta tersebut. Banyak pula ragam pemiliknya, saya dan kawan hanya mampu tersenyum melihatnya. Dia seperti tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mencuci kereta tersebut. 


Dia memanggil semula pekerja dan menyuruh pekerja itu mengelap tempat-tempat yang dirasakannya tidak bersih. Mukanya sombong dan langsung tidak melemparkan senyuman. Beberapa kali dia mengelilingi keretanya membuat semakan seperti nazir yang datang ke sekolah lagaknya. Akhirnya, perkara yang membuatkan kami ketawa ialah dia sendiri mengambil kain yang disidai dan mengelap keretanya. Pada waktu itu, saya melihat pekerja lain yang sedang mencuci kereta kawan saya turut memerhati gelagatnya. Kemudian, saya berpesan kepada kawan saya jangan bersikap seperti orang itu sambil kami ketawa bersama-sama.


Baiklah, itu sahaja perkara yang ingin saya ceritakan. Pada pendapat anda wajar atau tidak pemilik kereta tersebut bersikap seperti itu?. Terpulanglah pada diri anda untuk memberikan pendapat masing-masing. Walau bagaimanapun, pada pendapat saya perkara sedemikian perlulah dielakkan. Kalau kita tidak berpuas hati sekali pun, ada cara yang sopan dan paling berhemah boleh ditonjolkan. Jadilah masyarakat yang berbudi bahasa.








Sunday, 17 March 2013

Unsur lewah dalam bahasa Melayu...

Assalamualaikum...

Apakah maksud lewah?. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan lewah bermaksud berlebih-lebih sehingga bertambah perkara, hal dan sebagainya yang tidak perlu. Terdapat beberapa aspek penggunaan bahasa Melayu yang memperlihatkan kekeliruan berkait dengan unsur lewah dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, penggunaan "demi untuk" seperti yang digunakan dalam ayat "Kami berjuang demi untuk negara tercinta" dianggap kurang betul. Perkataan "demi" dan "untuk" membawa makna yang sama. Kedua-dua perkataan tersebut ialah kata sendi nama. Oleh itu, penggunaan kedua-dua perkataan yang sama maknanya dalam satu ayat secara berturutan dianggap lewah. Penggunaan salah satu daripadanya sudah mencukupi.

Selain itu, terdapat beberapa perkataaan lain yang digunakan dan membawa makna lewah, antaranya ialah "Selain daripada itu,...", "Semua guru-guru...", "Antara masalah-masalah...", "Sejak dari...", dan sebagainya. Sebenarnya sifat kelewahan ini sangat digemari oleh masyarakat Melayu. Kita beranggapan bahawa, sesuatu buah fikiran itu perlu ditegaskan, maka satu perkataan dirasakan tidak cukup. 

Terdapat juga perkataan lewah yang menggandingkan perkataan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, contohnya "cuba try", dan "kasut boot". Perkataan ini bukan sahaja lewah, bahkan juga berbentuk bahasa rojak. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam menggunakan bahasa dengan betul sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan. Kita hendaklah mengelak daripada menggunakan bentuk lewah yang melanggar hukum bahasa kerana perkara sedemikian akan mencemarkan keindahan bahasa kita.

 

Sopan santun dalam berbahasa...

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada maha pencipta kerana dengan izin dan rahmat-Nya saya dapat menulis entri pada hari ini. Baiklah, pada permulaan coretan kali ini, saya ingin bertanya kepada anda semua...pernahkah anda berhadapan dengan orang yang kasar bahasanya apabila bercakap dan memalingkan mukanya ke arah lain dengan kata yang mudah tidak memandang muka anda semasa perbualan sedang berlaku?...

Pengalaman tersebut telah berlaku ke atas diri saya dan beberapa rakan yang lain semasa diadakan Taklimat Latihan Mengajar bersama seorang pensyarah untuk pelajar Semester 6 yang bakal berpraktikum pada semester hadapan. Negeri-negeri yang dibuka untuk praktikum tersebut ialah Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka. Sebuah sekolah dibuka kepada dua orang dan terdapat juga sekolah yang dibuka tempat untuk empat orang pelajar tetapi amat sedikit. Pelajar boleh membuat pilihan sekolah yang diinginkan oleh mereka, tetapi jika terdapat pertindihan sekolah yang dipilih mereka perlu memilih sekolah lain.

Pada masa itu, kebetulan saya dan dua orang rakan saya memilih sekolah yang bertindih dengan tiga kumpulan rakan yang lain. Mahu tidak mahu terpaksalah kami duduk berbincang untuk mendapatkan jalan penyelesaian. Satu kumpulan telah berundur diri untuk memilih sekolah lain, maka tinggallah  kami dan dua kumpulan lagi. Semasa perbincangan tersebut, ada rakan saya yang memberi idea untuk mencabut undi bagi menentukan kumpulan yang menang, tetapi telah ditolak oleh sekumpulan lain. Dengan muka yang garang dan berpaling ke arah lain, dia menegaskan bahawa mereka tidak mahu mengalah dan tidak mahu mencabut undi. Pada ketika itu, saya dan rakan saya hanya mampu tersenyum melihat gelagatnya. Akhirnya saya dan rakan saya pula mengundur diri. 

Setelah hampir setengah jam, saya nampak dua kumpulan tersebut berada di meja sedang mencabut undi yang dikendalikan oleh pensyarah itu sendiri. Kenapa kita perlu bersikap kasar sebegitu dan tidak berfikiran seperti orang yang matang?. Lebih mudah sekiranya perbincangan dijalankan dengan berhemah dan nescaya tidak akan ada pihak yang tersinggung dengan sikap kita. Oleh itu, sekiranya kita tidak dapat mengubah orang lain, maka ubahlah diri kita sendiri. Jangan biarkan persekitaran luar mengubah dalaman diri kita. 






Dialek Utara...

Assalamualaikum...

Apa khabar semua?. Alhamulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana sekali lagi diberi kesempatan untuk menulis entri ini. Baiklah, pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang rancangan realiti televisyen yang saya telah tonton semalam bersama-sama beberapa orang rakan rumah sewa saya. Rancangan yang saya maksudkan ialah da'i yang disiarkan di TV3. Pernah atau tidak menonton rancangan ini?. Kalau tidak pernah di bawah inilah sedikit sedutan rancangan yang saya maksudkan...



Rancangan da'i ialah sebuah program pencarian pendakwah generasi muda yang berumur 19 tahun hingga 27 tahun. Peserta dipilih daripada uji bakat yang dijalankan di beberapa buah universiti tempatan. Berdasarkan segmen yang saya tonton semalam, ternyata kelima-lima peserta sangat fasih berbicara soal agama berdasarkan soalan yang diberikan kepada mereka. Selesai salah seorang peserta menyatakan hujahnya, pengacara rancangan tersebut telah mengatakan bahawa hebat dan lancar hujah beliau yang sedikit menggunakan bahasa Kedah. Apa yang dimaksudkan dengan bahasa Kedah di sini?. Sebenarnya peserta tadi berasal dari Pulau Pinang. Dalam fikiran saya tertanya-tanya, mengapa apabila seseorang bercakap menggunakan loghat atau dialek utara, ramai yang mengatakan bahawa individu tersebut menggunakan bahasa Kedah?. Kadangkala apabila seseorang menggunakan loghat utara dalam percakapannya, tidak semestinya dia berasal dari negeri Kedah. Selain Kedah, negeri lain yang turut menggunakan dialek utara  ialah Perlis, Pulau Pinang, dan Perak Utara. 

Namun demikian, semenjak saya berada di institut pengajian di sini terdapat juga rakan-rakan saya yang berasal dari Kelantan, Selangor, dan Johor bercakap dengan loghat utara cuma sebutannya sedikit berbeza daripada orang utara yang sebenarnya. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa loghat utara ini senang ditiru dan dipelajari.



Kata majmuk mantap...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Apa khabar semua? harap-harap semua sihat, alhamdulillah. Kita perlu bersyukur kerana masih lagi diberi kesempatan oleh Allah untuk meneruskan hidup dengan menghirup udara segar, kesihatan yang baik, kehidupan yang aman dan selesa, keluarga yang bahagia dan macam-macam lagi. Terlalu banyak rasanya nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya. Jadi kita harus sentiasa bersyukur dan muhasabah diri atas segala nikmat yang diperoleh. Baiklah, pada entri kali saya bukan hendak memberi ceramah atau syarahan tetapi ingin menulis tentang kata majmuk mantap dalam bahasa Melayu. Mungkin perkongsian tentang nasihat dan pedoman hidup akan saya tulis pada entri yang lain.

Sebenarnya pada baru-baru ini saya telah mengikuti satu seminar. Dalam seminar tersebut telah ditayangkan nota-nota pada skrin putih. Semasa melihat nota-nota yang tertulis pada skrin tersebut, saya telah terkesan beberapa kesalahan penggunaan kata majuk. Sebagai contoh, perkataan "tanahair" yang sepatutnya ditulis terpisah, iaitu "tanah air" manakala perkataan "sanubari" yang sepatutnya ditulis rapat ditulis terpisah menjadi "sanu bari". Apakah yang dimaksudkan dengan kata majmuk?. Kata majmuk ialah bentuk yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan tersebut tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan. Berikut merupakan bentuk-bentuk kata tersebut:

                                 antarabangsa                     setiausaha
                                 beritahu                            sukarela
                                 bumiputera                        suruhanjaya
                                 jawatankuasa                    tandatangan
                                 kakitangan                        tanggungjawab
                                 kerjasama                         warganegara
                                 olahraga                           pesuruhjaya
                                 matahari

Pasaraya sepatutnya Pasar Raya

Oleh itu, pada pendapat saya sebelum kita menulis sesuatu perkataan yang kita tidak pasti sama ada ejaan itu betul atau salah, seeloknya kita semak dahulu dalam kamus atau bertanya kepada orang yang lebih pakar. Jadi, kesalahan dalam bahasa dapat dikurangkan dan seterusnya kita dapat menggunakan bahasa Melayu dengan betul. 

Thursday, 14 March 2013

Seni dalam kehidupan...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Alhamdulillah syukur, pada hari ini saya diberi kesempatan untuk menulis entri  yang seterusnya. Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan pembaca semua berkaitan dengan Seminar 6 Sasterawan Negara. Semalam, iaitu pada hari Rabu bersamaan dengan 13 Mac 2013 saya dan ahli kumpulan Psosa Melayu yang diiringi oleh pensyarah, Dr. Talib Samat telah menghadiri Seminar 6 Sasterawan Negara ini yang bertempat di Dewan Za'ba Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Seminar tersebut bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.30 petang. 6 Sasterawan Negara yang dibincangkan ialah Abdullah Hussain, Anwar Ridhwan, S.Othman Kelantan, Kemala, Muhammad Haji Salleh, dan Arena Wati. Saya ingin fokuskan satu tajuk yang telah dibincangkan dalam forum yang bertajuk "Kesusasteraan Negara pada Abad ke-21: Arah dan Falsafah" oleh Sasterawan Negara (SN) S.Othman Kelantan. SN S.Othman Kelantan dalam pengucapannya telah memberikan pandangan tentang karya-karya kesusasteraan dan usaha untuk mengembangkan karya sastera tersebut. Beliau berpendapat bahawa karya-karya sastera pada masa ini banyak mempersoalkan kehidupan zaman remaja, iaitu banyak menceritakan perkara romantik dalam kisahnya. Selain itu, karya-karya yang dihasilkan juga kebanyakannya tidak terdapat persoalan bangsa, agama, dan budaya.

Pengkarya pada tahun 1950-an menulis karya untuk tujuan kebajikan masyarakat. Pada tahun 1981 pengkarya sastera telah diberi pengiktirafan dengan dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara. Untuk menghasilkan karya yang berkualiti, al-Quran dan al-Hadis perlu dijadikan panduan dalam penulisan. Selain itu, SN perlu dimartabatkan kuasa bercakap dalam parlimen agar karya sastera dapat dikembangkan. Pendidikan sastera di sekolah, Institut Perguruan Guru (IPG), dan universiti-universiti perlu dilebarkan dengan lebih agresif dan diperkasa. 

Kita harus menyediakan wahana yang mempermudah usaha penghasilan karya yang banyak dan berkualiti tinggi untuk memartabatkan kesusasteraan Melayu. Kesusasteraan ialah satu ciptaan seni yang merupakan tonggak utama kebudayaan sesuatu bangsa. Oleh itu, dalam usaha pembinaan tamadun sesebuah negara, sastera dan budaya harus bergerak seiring.



Sunday, 10 March 2013

Betulkan yang salah, biasakan yang betul.


Assalamualiakum...

Pada entri kali ini saya sengaja letakkan gambar-gambar papan tanda ini dahulu...saya percaya mesti ramai daripada anda semua pernah melihat papan tanda sebegini bukan..sebelum melanjutkan perkongsian saya pada kali ini, saya hendak bertanya kepada anda semua...papan tanda manakah penggunaan 'di' yang betul? tahu ke tak?

Baiklah...sebelum itu, saya hendak memberitahu pembaca semua. Semalam saya dan seorang kawan saya telah pergi ke Rawang kerana ada sedikit hal. Dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Rawang, saya ada terbaca papan-papan tanda yang terdapat di tepi-tepi jalan tersebut. Terdapat beberapa papan tanda yang mempunyai kesalahan bahasa Melayu. Oleh sebab saya merupakan salah seorang bakal guru bahasa Melayu nanti, kadang-kadang saya terasa terpanggil apabila terlihat kesalahan penggunaan bahasa Melayu pada papan-papan tanda tersebut.

Contoh papan tanda di atas merupakan kesalahan penggunaan kata sendi nama 'di'. Kata sendi nama 'di' digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Perhatikan contoh di bawah :
                           i.  Ibunya bekerja di sekolah itu.
                           ii. Dia menunggu kami di perhentian bas.

Papan tanda yang berwarna biru di atas mempunyai kesalahan penggunaan 'di'. Sepatutnya ditulis dengan ayat dilarang bukan di larang. Hal ini demikian kerana, penggunaan 'di' dalam papan tanda di atas bertindak sebagai imbuhan awalan di. Oleh itu, saya berharap pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil perhatian tentang perkara ini agar kesalahan-kesalahan bahasa pada papan tanda dapat diatasi.

Jangan lupa diri...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...



                                    Contoh penggunaan Bahasa Rojak


Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi sedikit dengan anda semua tentang penggunaan Bahasa Rojak atau percampuran kod bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Apakah yang dimaksudkan dengan Bahasa Rojak?...Bahasa Rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan percampuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Percampuran ini berlaku apabila seseorang menukar bahasanya secara berganti-ganti untuk satu tajuk yang sama. Bahasa Rojak digunakan secara meluas, terutama dalam kalangan remaja bandar di Malaysia. Penggunaan Bahasa Rojak di Malaysia merupakan satu topik kontroversi kerana para pengkaji bahasa menganggapnya sebagai penggunaan bahasa yang tidak betul dan mungkin menimbulkan krisis dalam pembelajaran bahasa.


Penggunaan Bahasa Rojak yang semakin berleluasa ini amat membimbangkan.  Para pelajar akan kekurangan kemahiran menulis dan bertutur sekiranya keadaan ini terus berlaku. Kerajaan Malaysia sendiri telah memutuskan untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu yang betul, terutama dalam sektor swasta supaya dapat membendung penggunaan Bahasa Rojak. Sebagai contoh, TV3 telah menukar nama Karnival Sure Heboh menjadi Karnival Jom Heboh...


Hampir setiap hari saya mendengar penggunaan Bahasa Rojak ini, terutama dalam kalangan siswa siswi di universiti. Sebagai contoh, kelas tiada hari ini menjadi kelas cancel hari ini, sudah semak ke jadual? menjadi sudah check ke  jadual? dan berbagai-bagai lagi...


Alasan yang paling kerap diberi bagi penggunaan Bahasa Rojak ini adalah untuk menonjolkan kehebatan si penutur menguasai bahasa yang satu lagi, terutama Bahasa Inggeris. Hebat ke kalau menggunakan bahasa Melayu dan bercampur dengan penggunaan bahasa Inggeris?...Sebenarnya tidak salah jika kita ingin menggunakan bahasa Inggeris sebagai alat untuk menimba ilmu, tetapi kita janganlah lupa diri, asal usul nenek moyang kita. Kita seharusnya berbangga dengan bahasa Melayu yang kita tuturkan setiap hari. Berlatihlah diri untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul. 



Saturday, 9 March 2013

Panggilan kekeluargaan...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Coretan kali ini berkaitan dengan panggilan kekeluargaan. Apakah yang anda semua faham tentang maksud panggilan kekeluargaan?...

Menurut G.E. Booji, J.G. Kerstens, H.J. Verkuyl, sosiolinguistik ialah adalah cabang linguistik yang mempelajari faktor-faktor sosial yang berperanan dalam pemakaian bahasa dan yang berperanan dalam pergaulan. Komponen yang diberi perhatian serius semasa berinteraksi ialah seperti status dan pangkat. Situasi ini boleh dilihat semasa interaksi kita dengan orang lain dan juga keluarga sendiri. Sebagai contoh, pangkat dalam keluarga yang dapat dibezakan dengan panggilan seperti along, angah, achik, adik, mak long, mak ngah, tok lang, dan sebagainya. 

Dalam keluarga saya sendiri pun menggunakan panggilan kekeluargaan ini. Saya merupakan anak kedua dalam keluarga, jadi keluarga saya memanggil saya dengan pangkat anak kedua, iaitu kak ngah. Begitu juga dengan ayah saya, beliau merupakan anak kedua dalam keluarganya, jadi anak-anak saudaranya memanggil ayah saya dengan panggilan Pak Ngah dan pangilan Mak Ngah kepada emak saya. Panggilan kekeluargaan ini menunjukkan suatu penghormatan yang diamalkan dalam sesebuah keluarga itu. Namun demikian, saya percaya terdapat juga keluarga yang tidak mementingkan hal ini, dan mengamalkan sosial budaya yang berbeza-beza. Panggilan kekeluargaan ini juga berbeza mengikut negeri masing-masing. 

Jika ada pendapat yang mengatakan bahawa panggilan dalam kekeluargaan ini merupakan perkara yang kolot dan ketinggalan zaman, itu terserahlah kepada individu masing-masing. Bagi saya, panggilan dalam kekeluargaan ini dapat menunjukkan rasa hormat selain dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Untuk melahirkan generasi yang pandai menghormati dan menghargai orang lain seharusnya bermula daripada institusi kekeluargaan yang untuh. Oleh itu, masyarakat Melayu tidak boleh lupa akan keindahan bahasa dan aspek sosial budaya serta adat yang diamalkan sejak dulu di samping bergerak seiring dengan kemajuan negara pada masa ini. 



Thursday, 7 March 2013

Ke angkasa dan kembali...lalalala

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah...pertama sekali saya nak tanya...pernah tak anda semua dengar lirik lagu yang sama dengan tajuk entri saya pada kali ini?... Sebenarnya tajuk entri saya ini memang saya ambil dari lirik lagu yang dinyanyikan oleh Diandra, iaitu salah seorang artis di Malaysia ni. Tajuk ini ada kaitan dengan cerita yang ingin saya kongsikan dengan anda semua.

Ceritanya bermula begini...seperti biasalah setiap hari, kadang-kadang ada juga hari yang membuatkan diri sangat letih, apa tidaknya dengan kuliah di kampus lama dan kampus baharu, waktu senggang yang hanya satu atau dua jam ditambah pula dengan cuaca yang panas terik, memang sangat memenatkan. Pada waktu malam, sibuk pula membuat tugasan-tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Alah! kadang-kadang alasan ja tu nak menyiapkan tugasan kononnya, padahal lebih leka melayari internet...akhirnya kerja tak siap pun...haha. Apabila perkara macam ni terjadi, jawabnya sampai pukul 2 atau 3 pagi la baru berjumpa dengan 'cik tilam' dan 'cik bantal'...

Gara-gara tidur lewat inilah, saya tidak sedar langsung bila waktunya jam berbunyi...siap dengan mimpi-mimpi indah sampai ke angkasa lagi..hehe, nasiblah ada seorang kawan saya ni ketuk pintu dan tolong kejutkan saya bangun. Sudahlah pagi ni saya ada pembentangan yang perlu dilaksanakan di kelas.Cepat-cepatlah saya bergegas untuk ke kuliah...Saya tiba di bilik kuliah hampir setengah jam lewat, nasib baiklah pada waktu itu pensyarah tersebut belum datang...perasaan lega dipancarkan dengan senyuman yang paling manis macam madu...hehe. Sepuluh minit menunggu, ketua memberitahu bahawa pensyarah tersebut tidak dapat masuk ke kelas pada hari ini kerana menghadiri mensyuarat dan pelajar boleh bersurai. "Seperti orang mengantuk disorongkan bantal", itulah peribahasa yang terlintas di fikiran saya pada saat itu. Bolehlah saya pulang ke rumah dan menyambung tidur dan mimpi sampai ke angkasa mungkin...haha...


Sebenarnya, tidak bagus kalau kita berjaga sehingga lewat malam. Keadaan ini akan mengganggu aktiviti kita pada keesokkan harinya sebab itu juga badan akan berasa letih disebabkan oleh tidur yang tidak cukup dan berkualiti. Jadi, kita harus bijak membahagikan waktu untuk membuat aktiviti dan waktu untuk berehat.

Wednesday, 6 March 2013

Betul ke bahasa menunjukkan bangsa??

Assalamualaikum dan salam sejahtera...


Pada coretan kali ini saya akan menceritakan sedikit luahan hati dan pengalaman saya dan sahabat bertemu dengan masyarakat Melayu kita yang masih tidak menggunakan bahasa yang lembut dan sopan sesama sendiri. Ceritanya bermula apabila saya dan sahabat pergi ke tempat yang sering dikunjungi oleh orang ramai pada hari minggu, iaitu pasar malam atau disebut juga sebagai pasar minggu.


Memanglah ada sesetengah orang cakap, biasalah kalau pergi ke tempat seperti itu, orang tidak akan hairan sangat tentang penggunaan bahasa dan adab sopan yang telah diterapkan dalam diri walaupun perkara tersebut telah diajar sejak kecil. Di pasar malam tersebut, saya dan sahabat berhenti di sebuah gerai untuk membeli makanan dan semasa saya menunggu pesanan, penjual tersebut ada menanyakan soalan sambil dia membungkus pesanan tersebut. Pada ketika itu, saya dan sahabat tidak mendengar perkara yang ditanyakannya, kemudian saya terus menyoalnya kembali. Alangkah terkejutnya saya saat itu apabila penjual tersebut terus meninggikan suaranya seperti marah. Saya terus diam dan senyum sahaja kepada sahabat saya, kemudian membayar pesanan tersebut dan terus beredar dari gerai tersebut.


Perasaan tersinggung itu memang ada tetapi saya berusaha untuk sentiasa berfikiran positif tentang kejadian tersebut. Mungkin penjual tersebut sudah sangat letih, mungkin suaranya memang sebegitu, mungkin saya sendiri yang bersalah kerana tidak memberi fokus kepada soalan dia. Walau bagaimanapun, kepada rakan-rakan yang membaca cerita saya ini saya harap kita sama-sama menjaga bahasa percakapan kita dengan orang lain tidak kiralah yang lebih muda, sebaya atau yang lebih tua daripada kita. Kalau kita tidak boleh mengubah orang lain, kita berusahalah untuk mengubah diri kita sendiri.