Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada maha pencipta kerana dengan izin dan rahmat-Nya saya dapat menulis entri pada hari ini. Baiklah, pada permulaan coretan kali ini, saya ingin bertanya kepada anda semua...pernahkah anda berhadapan dengan orang yang kasar bahasanya apabila bercakap dan memalingkan mukanya ke arah lain dengan kata yang mudah tidak memandang muka anda semasa perbualan sedang berlaku?...
Pengalaman tersebut telah berlaku ke atas diri saya dan beberapa rakan yang lain semasa diadakan Taklimat Latihan Mengajar bersama seorang pensyarah untuk pelajar Semester 6 yang bakal berpraktikum pada semester hadapan. Negeri-negeri yang dibuka untuk praktikum tersebut ialah Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka. Sebuah sekolah dibuka kepada dua orang dan terdapat juga sekolah yang dibuka tempat untuk empat orang pelajar tetapi amat sedikit. Pelajar boleh membuat pilihan sekolah yang diinginkan oleh mereka, tetapi jika terdapat pertindihan sekolah yang dipilih mereka perlu memilih sekolah lain.
Pada masa itu, kebetulan saya dan dua orang rakan saya memilih sekolah yang bertindih dengan tiga kumpulan rakan yang lain. Mahu tidak mahu terpaksalah kami duduk berbincang untuk mendapatkan jalan penyelesaian. Satu kumpulan telah berundur diri untuk memilih sekolah lain, maka tinggallah kami dan dua kumpulan lagi. Semasa perbincangan tersebut, ada rakan saya yang memberi idea untuk mencabut undi bagi menentukan kumpulan yang menang, tetapi telah ditolak oleh sekumpulan lain. Dengan muka yang garang dan berpaling ke arah lain, dia menegaskan bahawa mereka tidak mahu mengalah dan tidak mahu mencabut undi. Pada ketika itu, saya dan rakan saya hanya mampu tersenyum melihat gelagatnya. Akhirnya saya dan rakan saya pula mengundur diri.
Setelah hampir setengah jam, saya nampak dua kumpulan tersebut berada di meja sedang mencabut undi yang dikendalikan oleh pensyarah itu sendiri. Kenapa kita perlu bersikap kasar sebegitu dan tidak berfikiran seperti orang yang matang?. Lebih mudah sekiranya perbincangan dijalankan dengan berhemah dan nescaya tidak akan ada pihak yang tersinggung dengan sikap kita. Oleh itu, sekiranya kita tidak dapat mengubah orang lain, maka ubahlah diri kita sendiri. Jangan biarkan persekitaran luar mengubah dalaman diri kita.
No comments:
Post a Comment