Monday, 15 April 2013

Bahasa SMS...


Asslamualaikum dan salam sejahtera...

Pada entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang penggunaan bahasa ringkas yang selalu digunakan dan semakin popular pada masa ini, terutamanya dalam kalangan remaja.

Baiklah, pada cuti pertengahan semester baru-baru ini saya dan beberapa orang kawan yang lain telah pergi ke sebuah sekolah untuk membuat pengajaran makro. Saya telah mengajar kelas tingkatan empat. Dalam proses pengajaran tersebut, pelajar telah dibahagikan kepada empat kumpulan untuk sesi pembentangan. Mereka diarahkan untuk menulis jawapan di dalam kertas sebak dan semasa saya memantau perbincangan tersebut saya dapati terdapat beberapa perkataan yang ditulis ringkas dan menyalahi hukum bahasa Melayu. Contohnya perkataan “isteri” yang dieja dengan perkataan “is3”, dan “orang” menjadi “owg”.

Fenomena bahasa ringkas ini boleh menjadi parah jika tidak diatasi dengan segera. Bayangkan jika pelajar menjawab soalan peperiksaan dalam bahasa ringkas yang tidak dapat difahami oleh pemeriksa, sudah pastinya markah tidak akan diberi dan pelajar akan gagal. Keadaan bertambah buruk apabila terdapat juga bahasa ringkas bukan sahaja dalam bahasa Melayu bahkan juga dalam bahasa Inggeris yang dicampuraduk dengan bahasa Melayu . Contohnya, “Ahmad otw ke pekan” yang membawa maksud “Ahmad dalam perjalanan ke pekan”, manakala perkataan “otw” ialah dalam bahasa Inggeris yang membawa maksud “on the way”. Satu lagi contoh ialah perkataan “asap” yang sering digunakan yang bukan membawa maksud “asap api”, tetapi bermaksud “as soon as possible”.

Pada pendapat saya, penggunaan bahasa ringkas ini perlu diberi perhatian serius, terutamanya dalam kalangan pelajar. Penggunaan bahasa ringkas ini bukan sahaja menyukarkan pembaca untuk memahami bahkan juga akan merosakkan bahasa Melayu yang seharusnya menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia.





Hidup berjiran...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Pada entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang kehidupan masyarakat kita pada masa ini, iaitu adab berjiran. Apakah maksud jiran? Jiran ialah orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita atau tinggal di sekeliling rumah kita.

Ada sesetengah daripada masyarakat kita yang hidup berjiran, tetapi tidak mengenali jirannya itu. Saya pernah terdengar satu cerita, seorang jiran yang tidak pernah kenal jirannya ini sehingga pada suatu masa dia telah membantu perompak untuk mengangkut barang masuk ke dalam lori kerana menyangka jirannya itu akan berpindah rumah. Rupa-rupanya jirannya itu pulang ke kampung. Akhirnya, dia juga telah ditangkap oleh polis kerana disyaki bersubahat dengan perompak-perompak tersebut.

Sebenarnya kita juga mempunyai tanggungjawab terhadap jiran kita. Contohnya, ziarah menziarahi, memberi sedekah, menjaga keselamatan rumah jika mereka tiada di rumah, menjauhi perasaan hasad dengki, bergotong-royong, mengucapkan tahniah atau menunjukkan rasa gembira apabila mereka mendapat kesenangan dan sebagainya.

Pada pendapat saya, jika masyarakat menghayati adab berjiran ini kita akan hidup aman dan harmoni, diberkati Allah, wujud perpaduan, dan kehidupan akan lebih bermutu. 


Budi Bahasa Budaya Kita...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah, pada entri kali ini saya ingin berkongsi cerita dengan anda semua tentang budi bahasa. Ada orang cakap percakapan dan tutur bicara kita melambangkan keperibadian diri kita, betul ke?. “Lu pikir la sendiri”, bak kata Nabil raja lawak,hahaha...

Baru-baru ini dalam perjalanan pulang dari Tanjung Malim ke kampung bersama-sama kawan saya kami singgah di sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk menunaikan solat Zohor. Selesai solat saya pergi ke tandas. Semasa saya sedang membetulkan tudung, saya terdengar seorang perempuan memanggil rakannya dengan panggilan “hey pompuan” dengan nada yang kuat, terkejut saya dibuatnya. Aduhai, cantiknya bahasa!. Kasarnya bahasa yang digunakan oleh perempuan tersebut. Kalau lihat dari segi fizikalnya cantik malah dia juga bertudung. Tidak bolehkah dia memanggil rakannya itu dengan panggilan yang baik dan sopan?.

Perkara yang saya dapat pelajari daripada peristiwa ini ialah kita tidak perlulah mengeluarkan kata-kata dan memanggil sesiapa sahaja dengan bahasa yang tidak sopan sehingga boleh menyinggung hati dan perasaan orang lain. Jadilah masyarakat yang berbudi bahasa dan mempunyai akhlak yang baik.



Penggandaan Kata Majmuk...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang penggandaan kata nama majmuk. Kata nama boleh mengalami proses penggandaan untuk melahirkan makna-makna tertentu. Kesemua bentuk kata nama tunggal, kata nama terbitan, dan kata nama majmuk boleh digandakan.
Penggandaan kata nama majmuk terbahagi kepada dua. Pertama ialah kata majmuk yang dieja terpisah dan hanya bahagian awal kata sahaja yang digandakan. Kedua, kata majmuk yang dieja bercantum akibat kelaziman penggunaan, dan seluruh kata digandakan. Contohnya:

a)   kertas kerja        – kertas-kertas kerja
rumah sakit        – rumah-rumah sakit
  mata pelajaran    – mata-mata pelajaran

            b)   setiausaha    – setiausaha-setiausaha
                     jawatankuasa   – jawatankuasa-jawatankuasa
                  suruhanjaya       – suruhanjaya-suruhanjaya

Sering kali kita melakukan kesalahan penggunaan kata nama majmuk ini. Sebagai contoh, mata pelajaran digandakan menjadi mata pelajaran-mata pelajaran, tetapi sebenarnya penggunaannya tidak tepat.
Oleh itu, pada pendapat saya jika kita masih keliru dengan aspek penggandaan ini kita haruslah rajin membaca dan membuat rujukan melalui sumber yang boleh dipercayai dan tepat.



Budaya Terima Kasih...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah, pada entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang budaya berterima kasih. Saya percaya kita semua sebagai rakyat Malaysia sudah seringkali mendengar budaya “Terima Kasih” ini. Sudah banyak iklan dan kempen yang telah disiarkan dalam media massa tidak kira di corong-corong radio atau di kaca televisyen. Walau bagaimanapun terdapat juga sesetengah daripada masyarakat Malaysia tidak mengamalkan budaya baik ini.

Hendak dijadikan cerita beginilah, baru-baru ini saya telah mengunjungi sebuah pasar raya untuk membeli sedikit barangan keperluan. Setelah selesai memilih barang-barang tersebut saya pergi ke kaunter bayaran untuk membuat pembayaran. Juruwang tersebut menyebut jumlah harga dan saya terus menghulurkan wang kepadanya. Kemudian baki wang saya dikembalikan dan saya melemparkan senyuman kepadanya sambil mengucapkan ucapan terima kasih, namun juruwang tersebut sedikit pun tidak membalas senyuman saya apatah lagi untuk mengucapkan terima kasih. Kemudian saya terus beredar dari situ. Tiba-tiba tekak pula terasa haus, jadi saya singgah di gerai kecil yang terdapat di dalam pasar raya tersebut untuk membeli minuman. Perkara yang sama berulang apabila juruwang di gerai tersebut juga bertindak seperti juruwang tadi. Terdetik dihati saya rupa-rupanya masih ada lagi masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran tentang hal ini.

Pada pendapat saya, bukan susah sebenarnya untuk menyebut ucapan “terima kasih” ini. Mengapakah masyarakat kita pada hari ini masih kurang kesedaran dan begitu susah untuk menyebut ucapan ini?. Sekiranya budaya berterima kasih ini boleh dipraktikkan, saya percaya akan lahir masyarakat yang saling menghargai antara satu sama lain.


Penggunaan dari dan daripada...


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Baiklah, pada entri kali ini saya ingin berkongsi tentang pengalaman bahasa yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Perkara ini sering berlaku dalam kehidupan kita melalui percakapan atau perbualan yang kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah melakukan kesalahan. Hal yang dimaksudkan ini ialah penggunaan perkataan dari dan daripada.
Seringkali saya mendengar dan kadang kala saya sendiri yang melakukan kesalahan ini. Contohnya:

1.   Saya berasal daripada Kedah.
(betul: Saya berasal dari Kedah)
2.   Kereta itu membelok daripada kiri ke kanan.
(betul: Kereta itu membelok dari kiri ke kanan.)

Dalam kedua-dua contoh ayat di atas, ternyata bahawa penggunaan kata sendi nama daripada tidak tepat. Sepatutnya, kata sendi nama daripada tersebut digantikan dengan kata sendi nama dari. Kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Kata sendi nama daripada pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber, atau unsur perbandingan atau perbezaan. Contoh penggunaan kata sendi nama daripada adalah seperti berikut:

1.   Cadangan daripada persatuan kami telah diterima.
2.   Benang berasal daripada kapas.

Kesimpulannya, kita perlulah sentiasa peka terhadap penggunaan kata dalam percakapan kita sama ada secara lisan atau tulisan. Jika kita sebagai masyarakat Malaysia sentiasa menggunakan bahasa Melayu dengan betul, nescaya bahasa Melayu akan disanjung tinggi.




Tuesday, 26 March 2013

Kata Pemeri...

Assalamualaikum...

Pada entri sebelum ini, saya telah berkongsi tentang kata majmuk mantap dalam bahasa Melayu. Baiklah, pada kali ini saya ingin berkongsi pula mengenai kata pemeri, iaitu "ialah" dan "adalah".


Hendak dijadikan cerita begini, semalam semasa saya sedang membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah, saya ada menanyakan sahabat saya satu soalan yang berkaitan penggunaan kata pemeri ialah dan adalah ini. Berikut merupakan perbualan saya dan sahabat saya:


                     Saya: Ayat yang betul yang mana satu? ialah  
                              seperti berikut atau adalah seperti berikut?
                     Anis: Tidak pasti la...cuba tengok semula dalam buku.

Disebabkan kejadian tersebut saya pun terfikir yang rupanya saya sendiri belum mahir dan yakin dengan penggunaan kata pemeri yang betu dan tepat. Sebenarnya, kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:
    
                    (i) secara persamaan antara subjek dengan predikat,  
                        dengan penggunaan kata pemeri ialah,
                    (ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan 
                        penggunaan kata pemeri adalah.

Kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama. Kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Satu perkara yang perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu. Oleh itu, pada pendapat saya untuk mengelakkan kesalahan penggunaan kata pemeri ini, kita perlulah mahir dan sentiasa peka dengan penggunaannya dalam ayat.